NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Politik

Sesi Fotografi Rasmi Jemaah Menteri Bukan Petanda Bubar Parlimen

PUTRAJAYA – Dakwaan yang tular di media sosial kononnya sesi fotografi rasmi anggota Jemaah Menteri yang diadakan pagi ini menjadi petanda kepada pembubaran Parlimen disifatkan sebagai tidak berasas.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan sesi bergambar berkenaan diadakan bagi melengkapkan foto rasmi Kabinet susulan pelantikan beberapa anggota baharu selepas rombakan Kabinet yang dilaksanakan pada Disember tahun lalu.

Menurut beliau, sehingga kini belum pernah diadakan sesi fotografi rasmi melibatkan keseluruhan barisan Jemaah Menteri dalam susunan terkini selepas rombakan tersebut.

“Perdana Menteri sebelum ini memang menyatakan hasrat untuk mengadakan sesi fotografi rasmi Jemaah Menteri memandangkan terdapat beberapa anggota baharu yang menyertai Kabinet selepas rombakan dilakukan.

“Sebelum ini juga sesi yang sama pernah diadakan bagi barisan Kabinet terdahulu. Jadi, ia adalah amalan biasa dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pembubaran Parlimen,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi yang timbul susulan penularan gambar Perdana Menteri bersama anggota Jemaah Menteri di media sosial.

Dalam pada itu, Fahmi berkata sesi berkenaan turut mengambil kesempatan daripada kehadiran anggota Kabinet di Putrajaya sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang menyaksikan mereka mengenakan pakaian istiadat rasmi.

Menurutnya, keadaan tersebut menjadikan hari ini masa paling sesuai untuk merakam gambar rasmi Kabinet.

“Jabatan Perdana Menteri melihat hari ini sebagai peluang terbaik kerana semua anggota Jemaah Menteri hadir dengan pakaian nombor satu.

“Oleh itu, tidak timbul soal ia menjadi petanda kepada pembubaran Parlimen. Ia hanyalah urusan rasmi yang lazim dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *