KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah mengedar kira-kira 173 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, dalam kejadian empat tahun lalu.
Hukuman itu dikenakan terhadap Adam Tan Seng Tek, 34, dan teman wanitanya, Nguyen Thi Kim Thanh, 33, warga Vietnam selepas mahkamah mendapati kedua-duanya gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor turut memerintahkan Adam menerima 12 sebatan. Kedua-dua hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap, iaitu 24 Februari 2022.
Kesalahan itu berlaku pada 24 Februari 2022 apabila pasangan berkenaan didapati mengedar 172,741.10 gram methamphetamine di sebuah unit kondominium di Residensi Kiara Jalil 1, Bukit Jalil.
Dalam pembelaan, pasangan itu mendakwa mereka hanya menyewa unit berkenaan melalui seorang orang tengah yang dikenali sebagai Mohd Haffizuddin. Mereka turut mendakwa individu berkenaan dan seorang lagi lelaki, Leong Wai Soon, mempunyai kunci ke unit tersebut.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus membawa kepada sabitan dan hukuman terhadap kedua-duanya.









