KOTA TINGGI – Seorang peneroka Felda maut selepas ditetak menggunakan senjata dipercayai sebilah kapak dalam kejadian di Felda Lok Heng Selatan, pada Isnin.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 malam di tepi jalan berhampiran kediaman suspek.
Suspek dilaporkan mengamuk sambil memegang senjata berkenaan sehingga penduduk sekitar tidak berani menghampiri lokasi kejadian kerana bimbang akan keselamatan mereka.
Selepas menyerang mangsa, suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi. Bagaimanapun, beliau memaklumkan kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan pada Rabu berikutan siasatan lanjut yang masih dijalankan.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai motif kejadian atau identiti suspek.
Sumber : Sinar Harian









