KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setakat 31 Ogos lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, baki komitmen yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, menjadikan keseluruhan tanggungan sebanyak RM51.4 bilion.
Selepas mengambil kira pemulihan dana dan aset bernilai RM31.3 bilion, beban bersih kerajaan dianggarkan RM20.1 bilion.
Menurutnya, kerajaan masih meneruskan usaha mendapatkan semula aset dan dana berkaitan 1MDB, namun belum menetapkan tahun muktamad untuk menyelesaikan semua tuntutan kerana ia bergantung pada proses mahkamah dan penguatkuasaan.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM13 bilion sejak 2023 untuk melunaskan bon 1MDB bernilai AS$3 bilion yang dijamin kerajaan.









