Home / Malaysia / MotoGP Sepang: Penumpang KLIA Diingatkan Rancang Perjalanan

MotoGP Sepang: Penumpang KLIA Diingatkan Rancang Perjalanan

KUALA LUMPUR – Penumpang yang dijadualkan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari hari ini hingga Ahad, 1 November, dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal berikutan jangkaan kesesakan lalu lintas sempena penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia PETRONAS 2026 (MotoGP).

Malaysia Airlines dalam kenyataan menerusi media sosial memaklumkan kesesakan dijangka berlaku di kawasan sekitar serta lebuh raya menuju ke KLIA sepanjang berlangsungnya acara di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.

Walaupun semua laluan akses ke KLIA kekal dibuka, penumpang diminta memantau perkembangan trafik semasa yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Orang ramai turut digalakkan menggunakan laluan alternatif atau memilih perkhidmatan KLIA Ekspres bagi mengelakkan kelewatan dan memastikan ketibaan di lapangan terbang mengikut jadual.

Malaysia Airlines turut mengingatkan penumpang penerbangan antarabangsa supaya tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas, manakala penumpang penerbangan domestik disarankan tiba sekurang-kurangnya dua jam lebih awal.

Penumpang juga perlu mengambil perhatian bahawa kaunter daftar masuk akan ditutup 60 minit sebelum waktu pelepasan bagi kedua-dua kategori penerbangan.

Sumber : Astro AWANI

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *