Istiadat Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Esok, BN Dijangka Pegang 8 Portfolio
SEREMBAN – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah esok.
Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu dijadual bermula pada 9.45 pagi.
Menurut sumber, Barisan Nasional (BN), yang memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, dijangka diberikan lapan portfolio Exco, manakala Perikatan Nasional (PN), yang memperoleh tujuh kerusi, dijangka diberikan dua portfolio.
Sumber itu berkata agihan portfolio berkenaan dipercayai telah dimuktamadkan selepas mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti masing-masing.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan pada saat akhir sebelum istiadat mengangkat sumpah berlangsung.
Menurutnya, kedudukan Exco Kanan hanya akan diketahui selepas majlis pelantikan itu.
“Bagaimanapun, tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) yang akan dilantik sebagai Exco seperti yang didakwa sebelum ini, dan tiada juga pelantikan jawatan Timbalan Exco,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan senarai barisan Exco akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum istiadat mengangkat sumpah diadakan.
Pada pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias memegang jawatan Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, manakala ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor memegang portfolio Belia dan Sukan.
Turut menganggotai barisan Exco sebelum ini ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang memegang portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, manakala Ismail ketika itu bertanggungjawab terhadap portfolio Pendidikan dan Modal Insan.
