ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

“Luar Biasa Sambutan Pendaftaran Keahlian UMNO, Kebanyakannya Pemuda” – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – UMNO merekodkan peningkatan keahlian baharu susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, dengan sebahagian besar pendaftaran melibatkan golongan muda.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendaftaran keahlian secara dalam talian menunjukkan sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan individu berusia antara 18 hingga 25 tahun.

“Luar biasa sambutan pendaftaran keahlian UMNO secara dalam talian selepas PRN Negeri Sembilan ini. Kebanyakannya adalah anak-anak muda berusia antara 18 hingga 25 tahun.

“Bagi yang berminat, boleh melayari laman keahlian UMNO di https://myumno.org/,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, daripada 18,650 keahlian baharu yang direkodkan, seramai 10,080 orang atau 54 peratus menyertai Pergerakan Pemuda UMNO, diikuti ahli biasa sebanyak 4,156 orang (22 peratus), Puteri UMNO 2,288 orang (12 peratus) dan Wanita UMNO 2,126 orang (11 peratus).

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos lepas, BN yang menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti dua pertiga sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Gabungan itu memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan BN meraih 18 kerusi berbanding 14 kerusi pada PRN 2023, manakala PN memenangi tujuh kerusi berbanding lima sebelum ini.

Daripada 18 kerusi dimenangi BN, UMNO menyumbang 16 kerusi manakala dua lagi dimenangi MCA. Bagi PN pula, PAS memenangi empat kerusi manakala Parti Wawasan Negara (WAWASAN) memperoleh dua kerusi.

Kemenangan di Negeri Sembilan itu menyusuli kejayaan BN pada PRN Johor Ke-16 pada 11 Julai lepas apabila gabungan itu memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *