Home / Teknologi & Digital / MYSIREN TIDAK AKSES DATA PERIBADI, AMARAN KECEMASAN TERUS KE TELEFON BIMBIT

MYSIREN TIDAK AKSES DATA PERIBADI, AMARAN KECEMASAN TERUS KE TELEFON BIMBIT

KUALA LUMPUR – Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilancarkan pada 23 November 2026 tidak mempunyai akses kepada data peribadi pemilik telefon bimbit, sebaliknya berfungsi khusus untuk menyalurkan notifikasi kecemasan kepada pengguna di kawasan yang ditetapkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sistem kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS), yang membolehkan amaran dihantar secara serentak kepada telefon bimbit yang serasi tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi atau mendaftar.

Berbeza dengan SMS yang dihantar berdasarkan nombor telefon penerima, teknologi CBS menyalurkan mesej melalui menara telekomunikasi kepada semua peranti dalam kawasan liputan yang ditetapkan. Pengguna juga tidak dikenakan sebarang bayaran untuk menerima amaran tersebut.

Buat masa ini, MySiren memberi tumpuan kepada amaran berkaitan banjir, tanah runtuh dan bencana alam. Sistem itu bagaimanapun berpotensi diperluas untuk menyampaikan maklumat mengenai kebakaran, kehilangan individu atau kanak-kanak serta kejadian tertentu melibatkan pihak berkuasa tempatan.

Dengan kos pembangunan keseluruhan sebanyak RM200 juta, sistem berkenaan mula dibangunkan pada 2025 selepas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025.

Ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara dijadualkan berlangsung pada 29 November 2026, pukul 10.10 pagi.

Orang ramai disarankan mengemas kini sistem operasi telefon masing-masing sekurang-kurangnya kepada iOS 27.2, Android 12 atau EMUI 16 serta memastikan tetapan amaran kecemasan diaktifkan.

Bagaimanapun, penerimaan notifikasi bergantung pada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G.

Sumber : BERNAMA

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *