KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkan tempoh konsesi lebih awal berikutan implikasi kewangan yang perlu ditanggung negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah sedemikian bukan sahaja melibatkan komitmen kewangan yang besar, malah berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur terhadap industri lebuh raya.
Sehubungan itu, tiada kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan kerajaan setakat ini berhubung cadangan pengambilalihan konsesi atau penamatan kutipan tol lebih awal.
Kenyataan itu dibuat menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mengenai baki tempoh konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, jumlah pampasan yang dibayar kerajaan serta kemungkinan mengambil alih konsesi berkenaan.
Menurut Alexander, perjanjian konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dijadualkan tamat pada 31 Disember 2069.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan kali terakhir membayar pampasan berjumlah RM3.61 juta pada 2021 susulan penangguhan kenaikan kadar tol di lebuh raya berkenaan. Tiada lagi bayaran pampasan bagi tujuan itu dibuat selepas tahun tersebut









