KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial dan pengacara program RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Muscat, Oman, pada Khamis.
Pemergian Allahyarham disahkan menerusi perkongsian keluarga di media sosial sebelum dimaklumkan rakan rapatnya, Saiful Nang. Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu Oman, selepas Maghrib.
Menurut laporan media, Kapten AA sebelum itu mengalami demam sebelum disahkan mengalami jangkitan paru-paru. Beliau pada awalnya mendapatkan rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat bagi rawatan lanjut.
Keadaan kesihatannya dilaporkan semakin kritikal sehingga beliau ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi selepas mengalami kesukaran bernafas.
Allahyarham berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu terbitan TV AlHijrah. Penggambaran tersebut dijadualkan berlangsung selama 14 hari dan ketika kejadian, pasukan produksi dilaporkan berada pada hari keenam penggambaran.
Rakan rapatnya, Saiful Nang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik dan disenangi ramai. Pemergian itu turut mengundang ucapan takziah daripada rakan industri serta pengikut RARETV di media sosial.
Pemergian Kapten AA merupakan satu kehilangan buat keluarga, rakan-rakan dan komuniti yang mengikuti perjalanan beliau menerusi kandungan kembara, dakwah serta pengembaraan.
Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.









