Home / Malaysia / “MANA HASIL SIASATAN MAFIA KORPORAT?” – SYED SADDIQ PERSOAL KERAJAAN

“MANA HASIL SIASATAN MAFIA KORPORAT?” – SYED SADDIQ PERSOAL KERAJAAN

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan kegagalan kerajaan mendedahkan hasil siasatan awal berhubung dakwaan kegiatan mafia korporat, meskipun perkara itu pernah diumumkan pada Februari lalu.

Persoalan itu dibangkitkan ketika isu dakwaan manipulasi korporat dan kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dalam agensi penguatkuasaan terus mendapat perhatian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Oktober memaklumkan kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi menyiasat dakwaan jenayah korporat.

Jawatankuasa itu akan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Laporan penuh siasatan dijanjikan untuk didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan PDRM telah memanggil 70 individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan Op Viking setakat 25 September lalu.

Polis turut membekukan dan menyita aset bernilai kira-kira RM409.21 juta, merangkumi 404 akaun bank bernilai RM85.62 juta, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta, lapan hartanah serta 11 kenderaan.

Bagaimanapun, siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. Kementerian Dalam Negeri turut memaklumkan tiada pegawai SPRM dikenal pasti dalam kalangan individu yang dipanggil untuk membantu siasatan setakat ini.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *