KUALA LUMPUR – Persidangan rawSEC MiniCon 2026 memberi tumpuan kepada pengukuhan pertahanan siber negara menerusi strategi risikan balas bagi menghadapi ancaman pengintipan digital yang semakin kompleks.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, berkata pengukuhan identiti digital dan kerjasama merentas sektor merupakan asas penting dalam memastikan keselamatan infrastruktur serta kedaulatan siber negara.
Persidangan bertemakan A Cyber Counterintelligence MiniCon itu dianjurkan oleh Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (rawSEC) dengan kerjasama Pertubuhan Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (MCCO).
Turut diberi perhatian ialah pelaksanaan Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA) bagi mengurangkan risiko pencerobohan dan penyalahgunaan identiti digital.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Keselamatan Siber Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nasrin Abg Omar, mengingatkan bahawa kelemahan pertahanan siber boleh mengganggu bekalan tenaga serta operasi infrastruktur penting negara.
Pengerusi rawSEC dan MCCO, Tahrizi Tahreb, memaklumkan komuniti itu kini menghimpunkan lebih 3,000 pengamal keselamatan siber berbanding hanya 15 ahli ketika ditubuhkan pada 2017.









