NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Penempatan Haram Rohingya Di Hulu Langat Dirobohkan Hari Ini

HULU LANGAT – Proses merobohkan struktur bangunan di penempatan Rohingya di Sungai Tekali, di sini, bermula hari ini dengan kerja-kerja dijalankan oleh pemilik tanah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, operasi perobohan dimulakan di bahagian belakang kawasan penempatan tersebut sebelum diperluaskan ke struktur lain secara berperingkat.

“Kerja-kerja merobohkan struktur di kawasan itu sedang dilaksanakan oleh pemilik tanah dan kini berada dalam peringkat pelaksanaan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Seorang bekas penghuni yang ditemui memaklumkan kerja perobohan bermula sekitar jam 9 pagi menggunakan jentera berat.

“Lebih kurang jam 9 pagi tadi, kerja-kerja perobohan sudah dimulakan dengan menggunakan jengkaut,” katanya.

Tinjauan di lokasi pada jam 4 petang mendapati operasi perobohan giat dijalankan, khususnya di bahagian belakang bangunan empat tingkat yang sebelum ini didiami warga asing.

Keadaan di kawasan tersebut juga dilihat lengang selepas semua penghuni mengosongkan bangunan berkenaan.

Difahamkan, bangunan empat tingkat yang menjadi perhatian umum sebelum ini telah dikosongkan sepenuhnya sebagai persediaan bagi membolehkan proses perobohan dilaksanakan secara berperingkat.

Sebelum ini, penempatan berkenaan menjadi tumpuan selepas didakwa menempatkan sejumlah besar warga asing serta dibina tanpa kelulusan di atas tanah persendirian dan sebahagiannya melibatkan kawasan rizab kerajaan, sekali gus mencetuskan perhatian pelbagai pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *