NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Lori Muatan Asid Hidroklorik Terbalik Di Cherating

KUANTAN – Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan yang membawa muatan asid hidroklorik terbalik dalam kejadian di Cherating, dekat sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.32 pagi.

Menurutnya, kemalangan tersebut menyebabkan tangki lori mengalami kebocoran sehingga cecair asid hidroklorik mengalir ke kawasan paya bakau berhampiran.

“Pasukan bomba segera mengambil tindakan dengan melaksanakan kaedah water curtain bagi menghalang penyebaran wap asid ke laluan utama jalan raya.

“Jumlah asid hidroklorik yang tertumpah dianggarkan kurang daripada 1,000 liter,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta syarikat berkaitan turut dihubungi bagi menyelaras tindakan susulan, termasuk proses pemindahan bahan kimia berkenaan ke lori gantian.

Menurutnya, operasi pemindahan dan kawalan keselamatan masih diteruskan sehingga jam 1.40 tengah hari dengan pemantauan rapi oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT).

“Pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan keadaan kekal selamat sepanjang proses pemindahan muatan dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian itu, pemandu lori yang berusia lingkungan 30-an dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *