Utusan Trump, Jared Kushner Bertemu Hamas, Percepat Pelan Damai Gaza
KAHERAH – Utusan Asia Barat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Jared Kushner, mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Hamas di Mesir bagi membincangkan pelaksanaan pelan damai Gaza yang disokong Washington.
Seorang pegawai Palestin memaklumkan menantu Trump itu bertemu delegasi Hamas yang diketuai pemimpin baharunya, Khalil al-Hayya, pada Ahad.
Pertemuan berprofil tinggi itu dipercayai yang pertama antara kedua-dua pihak sejak persetujuan gencatan senjata dicapai bagi Semenanjung Gaza tahun lalu.
Bulan lepas, Lembaga Keamanan yang dipimpin Trump memaklumkan bahawa persetujuan telah dicapai mengenai pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza.
Bagaimanapun, Israel minggu lepas menolak pelan damai 15 perkara yang turut menggariskan pengunduran tentera Israel dari Gaza serta usaha membangunkan semula wilayah itu di bawah pentadbiran awam Palestin baharu.
Pada Ahad, lapan negara Islam mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk tindakan Israel menolak pelan berkenaan.
Lembaga Keamanan merupakan organisasi antarabangsa yang pada asalnya ditubuhkan bagi mempromosikan keamanan di Gaza sebelum skopnya diperluaskan untuk merangkumi konflik di seluruh dunia.
Menurut laporan, dua lagi wakil lembaga itu, Nickolay Mladenov dan bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, turut menghadiri pertemuan berkenaan bersama wakil Mesir, Qatar dan Turkiye yang selama ini memainkan peranan sebagai perantara dalam rundingan keamanan.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini mengenai hasil pertemuan berkenaan, namun media melaporkan perbincangan tertumpu kepada langkah konkrit bagi melucutkan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel serta usaha kemanusiaan di Gaza.
Semasa berada di Mesir, Kushner turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi.
Media Israel pula melaporkan Kushner, Mladenov dan Blair dijadual bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin bagi meneruskan usaha memperkasa pelan damai yang dicadangkan Trump.
Netanyahu sebelum ini menegaskan bahawa pelaksanaan sebarang perjanjian hanya boleh dilakukan selepas Hamas melaksanakan pelucutan senjata sepenuhnya.
“Israel menolak dokumen 15 perkara Board of Peace mengenai Gaza. Angkatan Pertahanan Israel (IDF) tidak akan berundur sehingga Hamas benar-benar dilucutkan senjata,” katanya minggu lepas.
Dalam kenyataan bersama pada Ahad, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi, Jordan, Turkiye, Pakistan dan Indonesia menyifatkan penolakan Israel terhadap pelan damai AS itu sebagai ancaman kepada usaha Trump untuk mencapai keamanan di rantau berkenaan.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lepas masih kekal sehingga kini.
Bagaimanapun, IDF dilaporkan melancarkan beberapa serangan ke atas Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa, termasuk serangan terbaharu yang menyasarkan individu didakwa sebagai “pengganas” di Khan Younis dan Nuseirat. Israel menuduh Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata.
Perang Gaza tercetus selepas serangan yang dipimpin Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, manakala 251 lagi dijadikan tebusan.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Gaza yang menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu telah mengorbankan lebih 73,000 penduduk.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menganggarkan kira-kira 1.9 juta penduduk, atau hampir 90 peratus populasi Gaza, kehilangan tempat tinggal sejak konflik berkenaan bermula.
