ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Dua Anggota Cawangan Khas Nafi Jadi ‘Ulat’, Dakwa Dikasari di KLIA

KUALA LUMPUR – Dua anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil melalui peguam bagi menafikan dakwaan mereka terbabit sebagai ‘ulat’ atau melakukan ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kedua-dua anggota berpangkat Lans Koperal itu, Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Mohammad Faiz Muhamad, sebaliknya mendakwa mereka dikasari secara fizikal ketika sedang menjalankan tugasan rasmi di KLIA1 pada 28 September lalu.

Menurut peguam mereka, Kamal Hisham & Associates, kejadian tersebut didakwa menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan selain menjejaskan maruah mereka sebagai penjawat awam.

Pihak peguam menegaskan dakwaan bahawa mereka menjadi ‘ulat’ perlu disokong bukti dan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu utama, iaitu dakwaan kekerasan terhadap kedua-dua anggota berkenaan.

Dalam perkembangan sama, firma itu mengingatkan bahawa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bukan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza.

Kes berkenaan kini masih dalam siasatan. Polis sebelum ini memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan arahan selanjutnya.

Pihak peguam telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa-apa kesalahan berdasarkan bukti dan fakta yang diperoleh serta meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan sebelum siasatan selesai.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *