ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

RCI TH: Wang Hibah Diterima Pendeposit Sah, Berasaskan Akad Sempurna – JMWP

KUALA LUMPUR – Wang hibah yang diagihkan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika tahun berlakunya defisit, khususnya bagi tempoh 2014 hingga 2020, adalah sah menjadi hak milik pendeposit, menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP).

JMWP berkata wang yang diterima pendeposit tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan kerana pemberian itu dibuat berdasarkan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya.

“Selain itu, mana-mana jemaah yang telah menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah pada tempoh berkenaan, ibadah haji mereka adalah sah dan tidak terjejas,” menurut jabatan itu menerusi artikel di ruangan “Tinta Mufti” di laman sesawang JMWP semalam.

Artikel berkenaan diterbitkan bagi memberi pencerahan dari sudut Fiqh Muamalat susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Pendedahan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pendeposit mengenai status hibah yang diterima mereka sepanjang tempoh berkenaan.

Mengulas lanjut, JMWP berkata kontrak antara pendeposit dan TH pada tempoh tersebut ialah Wadi’ah Yad Dhamanah (Simpanan Berjaminan), iaitu TH dianggap meminjam wang daripada pendeposit untuk digunakan bagi tujuan pelaburan dan lain-lain.

“Oleh itu, TH tidak boleh menjanjikan sebarang keuntungan, sebaliknya pulangan yang diberikan kepada pendeposit berstatus hibah yang bersifat sukarela.

“Maka, apabila hibah yang diisytiharkan telah dimasukkan ke dalam akaun pendeposit, ia dianggap telah berlaku qabd dan hukumnya sah menjadi hak milik pendeposit.

“Kegagalan mematuhi piawaian perakaunan atau pelanggaran undang-undang oleh pihak pengurusan tidak membatalkan keabsahan kontrak pemberian hibah tersebut di sisi syarak,” menurut JMWP.

Jabatan itu berkata segala isu berkaitan salah tadbir urus akaun, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif merupakan tanggungan pihak pengurusan ketika itu dan bukan beban pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui kedudukan kewangan dalaman.

“Dalam keadaan berlakunya kekurangan terhadap transaksi lepas yang telah sempurna dan dilaksanakan secara meluas, Syarak turut mengiktiraf pendekatan mengesahkan transaksi yang telah berlaku serta mengangkat kesukaran merupakan prinsip yang diterima dalam Syarak demi menjaga hak pihak yang berkontrak bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar,” menurut artikel itu.

Dalam pada itu, JMWP menyifatkan langkah TH beralih kepada kontrak Wakalah bermula Disember 2019 sebagai tindakan yang tepat, apabila institusi itu bertindak sebagai ejen pelaburan dengan pulangan diagihkan berdasarkan keuntungan bersih sebenar hasil pelaburan dan bukan lagi atas nama hibah sukarela.

“Oleh itu, sekiranya berlaku keadaan tiada keuntungan atau defisit pada masa hadapan, TH secara automatik tidak boleh mengagihkan sebarang pulangan. Hal ini menutup ruang amalan tidak cermat, meningkatkan kehematan dan memastikan ketelusan sepenuhnya,” menurut JMWP.

JMWP turut menegaskan bahawa isu integriti yang melibatkan TH perlu dijadikan titik tolak kepada usaha pengislahan menyeluruh dalam pengurusan institusi Islam di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *