KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menegaskan pembinaan rumah di atas tanah rizab kerajaan tanpa kebenaran atau hak milik sah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian kerana ia boleh menyebabkan tanah rizab kerajaan habis sekiranya penduduk bebas membina kediaman tanpa kelulusan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga berdepan kesukaran untuk menyalurkan bantuan membaiki rumah kepada penduduk yang membina kediaman secara tidak sah kerana tindakan itu seolah-olah membantu perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berhubung bantuan baik pulih rumah kepada golongan miskin yang telah lama menetap di tanah rizab negeri tanpa geran hak milik kekal.
Bagaimanapun, Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri masih terbuka untuk mempertimbangkan permohonan rakyat yang ingin mendapatkan tapak kediaman di atas tanah kerajaan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Beliau turut mencadangkan penduduk berbincang dengan Pejabat Tanah bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai, termasuk di Gua Musang dan Jeli yang masih mempunyai tanah kerajaan untuk dipertimbangkan sebagai tapak rumah.









