Home / Malaysia / CAPRICE DIARAH BAYAR RM220,000 KEPADA EBIT LEW SERTA-MERTA, PERMOHONAN TANGGUH DITOLAK!

CAPRICE DIARAH BAYAR RM220,000 KEPADA EBIT LEW SERTA-MERTA, PERMOHONAN TANGGUH DITOLAK!

SHAH ALAM – Penyanyi rap dan pempengaruh, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada pendakwah bebas, Ebit Lew serta-merta selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak permohonannya untuk menangguhkan pembayaran berkenaan.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor memerintahkan Caprice mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun peguam yang mewakili Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew. Mahkamah turut mengarahkan Caprice membayar kos sebanyak RM2,000.

Keputusan itu susulan perintah mahkamah pada 17 Ogos lalu yang mengarahkan Caprice membayar ganti rugi RM220,000 dan memohon maaf kepada Ebit selepas didapati memfitnah pendakwah berkenaan menerusi beberapa kenyataan yang diterbitkan pada 2023.

Caprice turut diperintahkan memadamkan tujuh kenyataan yang dibuat bersama pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo dalam tempoh 48 jam serta tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan mengenai Ebit pada masa akan datang.

Kes berkenaan bermula selepas Caprice memuat naik rakaman video pada 15 September 2023 yang menampilkan Mondy sebagai tetamu. Ebit mendakwa kandungan video itu membawa maksud beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap wanita berkenaan.

Dalam saman tersebut, Ebit turut mendakwa penerbitan video berkenaan dibuat tanpa pengesahan fakta daripadanya atau peguam, sekali gus mengundang komen negatif, cacian dan makian daripada pengguna media sosial.

Mahkamah sebelum ini turut menolak tuntutan balas Caprice kerana didapati tidak berasas.

Foto : BERNAMA

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *