KUALA LUMPUR – Pelakon Malaysia, Anna Jobling, menerima anugerah Southeast Asia’s Best Screen Talent Award pada majlis Top 10 of Asia 2026 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur, malam tadi.
Pengiktirafan itu diberikan bagi menghargai bakat lakonan Anna serta sumbangannya sebagai anak seni yang membawa nama Malaysia di peringkat serantau.
Anna menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghormatan besar dan dorongan untuk terus berkembang dalam kerjayanya.
“Saya sangat amat dan terharu menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan sahaja bermakna buat saya, malah menjadi pembakar semangat untuk terus belajar, bekerja keras dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Beliau turut berkongsi penghargaan itu dengan keluarga, syarikat pengurusan, stesen televisyen, pihak produksi dan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
“Saya ingin berkongsi penghargaan ini dengan semua pihak yang sentiasa percaya dan menyokong saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin sampai ke tahap ini.
“Saya juga berazam untuk membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Jika ada peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa saya sedia untuk melakukannya,” katanya.
Majlis Top 10 of Asia 2026 berlangsung pada 26 November di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur.









