SEOUL – BTS meneruskan siri jelajah dunia ‘ARIRANG’ ke Asia dan Australia dengan Kuala Lumpur turut disenaraikan sebagai salah satu destinasi konsert kumpulan K-pop terkenal itu.
Menurut laporan Bernama-Yonhap, jelajah berkenaan bermula di Kaohsiung, Taiwan pada 19 November 2026, dengan sebanyak 26 persembahan dirancang di sembilan bandar raya.
Selepas persembahan di Taiwan, BTS dijadual meneruskan jelajah ke Bangkok, Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta, Hong Kong dan Bulacan di Filipina. Siri jelajah itu turut merangkumi lima konsert di Melbourne dan Sydney, Australia, sehingga Februari 2027.
Bagi peminat di Malaysia, BTS dijadual mengadakan persembahan selama dua malam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 dan 13 Disember 2026, jam 7.30 malam.
Sementara itu, suasana di Kaohsiung turut dimeriahkan dengan beberapa mercu tanda utama yang dihiasi lampu ungu sebagai simbol BTS dan peminat mereka, ARMY.
Menariknya, konsert kedua di Kaohsiung pada 21 November dan konsert di Jakarta pada 29 Disember akan ditayangkan secara langsung di pawagam di lebih 80 negara dan wilayah.









