Home / Sukan / AS$200 JUTA DITAWAR, KHABIB TETAP ENGGAN KEMBALI KE GELANGGANG!

AS$200 JUTA DITAWAR, KHABIB TETAP ENGGAN KEMBALI KE GELANGGANG!

TAWARAN AS$200 juta (kira-kira RM822 juta) daripada Jake Paul gagal mengubah pendirian legenda UFC, Khabib Nurmagomedov untuk kembali ke gelanggang MMA.

Khabib menegaskan bahawa wang bukan lagi motivasinya kerana beliau merasakan tiada apa yang perlu dibuktikan selepas menamatkan karier profesional dengan rekod sempurna 29 kemenangan tanpa kalah.

Tawaran itu dibuat ketika Jake Paul bersama rakan perniagaannya, Nakisa Bidarian bertemu Khabib di belakang pentas sebuah acara Professional Fighters League (PFL) di Dubai. Dalam rakaman video yang dimuat naik ke YouTube, Paul bertanya bilakah Khabib akan kembali bertarung sambil menawarkan bayaran AS$200 juta.

Namun, Khabib membalas bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk kembali, malah menegaskan tiada lagi lawan yang menjadi motivasi selain wang.

Keputusan bersara Khabib pada Oktober 2020 dibuat selepas menewaskan Justin Gaethje menerusi kuncian pada pusingan kedua di UFC 254. Persaraan itu turut berkait dengan janji yang dibuat kepada ibunya untuk tidak lagi bertarung selepas pemergian bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov, yang juga jurulatih dan mentornya.

Sejak meninggalkan gelanggang, Khabib memberi tumpuan kepada bidang kejurulatihan, termasuk membimbing Islam Makhachev dan sepupunya, Umar Nurmagomedov.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *