SHAH ALAM – Tidak sanggup melihat adik kembarnya terus menderita akibat penyakit buah pinggang tahap akhir, seorang pemuda nekad mendermakan sebelah buah pinggangnya demi memberi peluang kepada Amir untuk kembali menjalani kehidupan lebih baik.
Muhammad Ammar Fawwaz, 22, secara sukarela menawarkan diri menjadi penderma kepada adik kembarnya, Muhammad Amir Fawwaz Azizan, 22, sejurus mengetahui Amir menghidap penyakit berkenaan.
Menurut abang mereka, Muhammad Harith Zakwan, 26, keputusan Ammar pada awalnya mengejutkan seluruh keluarga. Namun, keluarga bersyukur kerana Ammar sendiri rela membantu kembarnya.
Masalah kesihatan Amir mula dikesan pada Mei 2025 ketika menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai persediaan menyambung pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut, Terengganu.
Keadaan kesihatannya kemudian semakin merosot sehingga perlu dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Akibat penyakit itu, Amir terpaksa menghentikan pengajiannya dan berdepan kemungkinan menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat.
Selepas hampir setahun menjalani pelbagai pemeriksaan bagi memastikan Ammar layak menjadi penderma, pembedahan pemindahan buah pinggang antara pasangan kembar itu berjaya dilaksanakan pada 13 November lalu.
Prosedur berkenaan berjalan lancar tanpa komplikasi. Kedua-duanya dibenarkan pulang selepas hampir lima hari menerima rawatan di hospital dan kini semakin pulih.
Bagaimanapun, mereka masih perlu menjalani pemeriksaan susulan bersama pakar setiap minggu sehingga keadaan kesihatan masing-masing stabil.
Sumber/ Foto : Sinar Harian









