JAKARTA – Tragedi kebakaran sebuah kilang gula-gula di wilayah Banten, Indonesia semakin meruncing apabila 24 mayat ditemukan di lokasi kejadian, manakala kira-kira 30 individu masih dilaporkan hilang.
Kebakaran melibatkan kilang PT Fonusa Agung Mulia di kawasan perindustrian Cikande, daerah Serang itu tercetus pada malam Sabtu lalu.
Menurut laporan Astro AWANI, pihak polis Indonesia memaklumkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan walaupun pasukan penyelamat berdepan keadaan sukar akibat kebakaran yang belum dipadamkan sepenuhnya serta risiko runtuhan struktur bangunan.
Keadaan mayat yang ditemukan juga menyukarkan proses pengecaman kerana kesan kebakaran terlalu teruk sehingga identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti secara visual.
Sehubungan itu, pihak berkuasa sedang mengumpulkan sampel DNA daripada ahli keluarga individu yang dilaporkan hilang bagi membantu proses pengecaman. Proses tersebut dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.
Pihak pengurusan kilang memaklumkan kira-kira 300 pekerja berada di premis ketika kebakaran berlaku.
Sementara itu, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia.
Sumber : REUTERS









