Home / Malaysia / ECRL ANGKAT NAMA KUALA LUMPUR, TERSENARAI DESTINASI TERBAIK DUNIA 2027

ECRL ANGKAT NAMA KUALA LUMPUR, TERSENARAI DESTINASI TERBAIK DUNIA 2027

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur terus mendapat perhatian pelancong antarabangsa apabila disenaraikan dalam “Best Places to Go in 2027” terbitan Frommer’s, sebuah jenama panduan pelancongan dan media digital terkenal.

Pemilihan ibu negara itu antara lain didorong penambahbaikan infrastruktur pengangkutan, khususnya menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), selain pembangunan bandar yang pesat dan kepelbagaian budaya.

Ketua Pengarang Frommer’s, Jason Cochran berkata, kehadiran ECRL bakal memudahkan pelancong meneroka lebih banyak destinasi menarik di Semenanjung Malaysia, termasuk kawasan pantai timur yang sebelum ini memerlukan perjalanan lebih panjang.

Menurutnya, laluan kereta api itu menghubungkan Lembah Klang dengan pantai timur Semenanjung Malaysia, sekali gus membolehkan perjalanan dilakukan dalam tempoh kira-kira empat jam.

ECRL sepanjang 665 kilometer itu menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak di Kuala Lumpur dengan Kota Bharu, Kelantan.

Selain kemudahan pengangkutan, Cochran turut melihat Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar moden yang mempunyai tarikan tersendiri. Beliau mengetengahkan mercu tanda seperti Merdeka 118 dan Menara Berkembar PETRONAS yang menjadi sebahagian daripada identiti ibu negara.

Beliau turut menyifatkan kemudahan serta perkhidmatan yang tersedia di Kuala Lumpur sebagai antara faktor yang memberikan keselesaan kepada pelancong antarabangsa.

Dengan gabungan pembangunan bandar, kepelbagaian budaya dan hubungan pengangkutan yang semakin baik, Kuala Lumpur dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri untuk pengunjung yang mahu menikmati suasana bandar moden serta meneroka keindahan Semenanjung Malaysia.

Sumber : BERNAMA

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *