Hamzah Umum Penubuhan Parti Wawasan Negara
TANAH MERAH – Pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara pada Konvensyen RESET yang berlangsung di sini.
Bekas Ketua Pembangkang itu berkata, parti baharu berkenaan bakal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya pada minggu hadapan sebagai langkah awal memperkukuhkan gerakan politik tersebut.
Menurut Hamzah, nama Parti Wawasan Negara dicadangkan sendiri oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
“Ramai yang bertanya mengenai parti yang menjadi platform kepada Gerakan RESET. Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa parti ini dinamakan Parti Wawasan Negara dan nama itu diberikan oleh Presiden PAS.
“Parti ini masih baharu dan sedang berkembang, namun kami berhasrat untuk bergerak seiring dengan PAS, GERAKAN serta rakan-rakan lain.
“Insya-Allah, kita akan terus membina persefahaman dan kerjasama politik yang lebih menyeluruh demi masa depan rakyat dan negara,” katanya ketika berucap pada konvensyen berkenaan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Abdul Hadi dan turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Samsuri Mokhtar; Presiden GERAKAN, Dominic Lau serta Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.
Konvensyen RESET yang julung kali dianjurkan itu dilaporkan menghimpunkan kira-kira 20,000 penyokong dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata beliau amat tersentuh dengan sokongan yang ditunjukkan oleh para penyokong serta pimpinan parti-parti yang hadir.
“Saya tidak pernah membayangkan dapat berdiri di hadapan begitu ramai penyokong dan pimpinan yang terus memberikan sokongan kepada perjuangan ini.
“Apabila seseorang disingkirkan atau dipinggirkan, sudah tentu dia mengharapkan sahabat dan rakan seperjuangan untuk terus bersama serta mengangkat semula semangat perjuangan.
“Hari ini saya dapat melihat sendiri sokongan itu melalui kehadiran pimpinan PAS, GERAKAN dan seluruh rakan seperjuangan yang sentiasa berada di sisi saya,” katanya.
