NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Sabah Southern MADANI Link Pastikan Pembangunan Sampai Ke Pedalaman – PM

SIPITANG – Pelaksanaan projek grid tenaga elektrik Sabah Southern MADANI Link (SSML) mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan serta kemudahan asas dapat dinikmati secara menyeluruh, termasuk oleh penduduk di kawasan pedalaman Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan inklusif dan seimbang tanpa hanya menumpukan kemajuan di kawasan bandar utama.

Menurut beliau, pembangunan yang mampan tidak akan memberi manfaat sepenuhnya sekiranya kemudahan asas seperti bekalan elektrik masih gagal disalurkan ke kawasan terpencil.

“Kerajaan mahu memastikan pembangunan dapat dirasai di setiap pelosok negeri termasuk kawasan pedalaman. Inilah yang membezakan pendekatan kita berbanding sesetengah negara yang hanya menumpukan pembangunan di bandar-bandar besar,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek SSML di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Projek SSML melibatkan pembinaan talian transmisi elektrik 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah, sekali gus memperkukuh sistem grid bekalan tenaga negeri serta mengimbangi pengagihan tenaga secara lebih berkesan.

Projek bernilai RM198 juta itu mula dilaksanakan pada 17 September tahun lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 16 September 2028. Sehingga 26 Mei lalu, kemajuan projek direkodkan pada tahap 17 peratus.

Anwar berkata, pelaksanaan projek tersebut menuntut pengorbanan besar daripada petugas lapangan yang terpaksa meredah kawasan hutan belantara di selatan Sabah bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan kepada rakyat.

“Saya amat terharu melihat pencawang dan talian elektrik yang dibina merentasi kawasan hutan. Mereka meninggalkan keluarga dan bekerja dalam keadaan mencabar demi memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan bekalan elektrik yang lebih baik.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi mereka,” katanya.

Mengulas kritikan segelintir pihak berhubung peruntukan pembangunan yang besar untuk Sabah dan Sarawak, Anwar menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan keutamaan tersebut bagi merapatkan jurang pembangunan infrastruktur antara wilayah.

Menurut beliau, ramai pengkritik tidak memahami cabaran sebenar yang dihadapi penduduk di Sabah dan Sarawak kerana tidak pernah turun padang menyaksikan sendiri keadaan infrastruktur, termasuk isu jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keutamaan terus diberikan kepada Sabah dan Sarawak demi kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata projek SSML bakal menjadi pemangkin kepada transformasi sistem Grid Sabah dan membuka laluan kepada penglibatan negeri itu dalam inisiatif ASEAN Power Grid.

Beliau menjelaskan rangkaian tenaga serantau itu akan menghubungkan sistem bekalan elektrik negara-negara Asia Tenggara melalui interkoneksi yang merangkumi Vietnam, Semenanjung Malaysia, Singapura, Sarawak dan Sabah sebelum disambungkan ke Kalimantan serta wilayah lain di Indonesia.

“Dengan pengukuhan Grid Sabah, bekalan tenaga dari Sarawak boleh disalurkan ke Sabah sebelum diteruskan ke Kalimantan dan wilayah selatan Indonesia.

“Ini akan menjadikan Sabah sebagai komponen penting dalam rangkaian tenaga serantau pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Anwar, pembangunan grid tenaga bersepadu bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Sabah, malah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi melalui bekalan tenaga yang stabil serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu.

“Pelabur memerlukan jaminan bekalan tenaga yang mencukupi dan berterusan. Sebab itu infrastruktur seperti ini amat penting untuk memastikan Sabah terus berkembang sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *