KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian dalam talian dan nombor ekor tanpa lesen dikesan menggunakan premis perniagaan sah seperti kafe, kedai runcit serta kedai telekomunikasi sebagai lokasi operasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi Ops Dadu Khas yang dilaksanakan di seluruh negara pada 31 Oktober hingga 1 November lalu.
Menerusi operasi tersebut, sebanyak 201 premis diserbu dan 282 individu berusia antara 20 hingga 65 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada 229 lelaki dan 53 wanita, termasuk 59 warga asing dari Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh yang dipercayai bekerja dengan sindiket tempatan.
Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian, termasuk tablet, telefon bimbit, pencetak mudah alih serta wang tunai berjumlah RM32,149.
Siasatan awal mengenal pasti beberapa sindiket perjudian dalam talian termasuk Winbox dan Alibaba. Pihak polis kini sedang mengesan individu yang dipercayai menjadi dalang kegiatan berkenaan.
Menurut Kumar, sindiket terbabit menggunakan kemudahan Internet dan Wi-Fi untuk menjalankan operasi serta transaksi secara dalam talian. Mereka juga boleh berpindah dari satu premis ke premis lain bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Dalam tindakan susulan, polis akan mencadangkan pemotongan bekalan elektrik terhadap kesemua 201 premis yang diserbu selepas siasatan selesai. Polis turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan iklan perjudian dalam talian yang disebarkan menerusi media sosial.
Kesemua individu yang ditahan direman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA









