Home / Jenayah / MCMC SAMAN GOOGLE RM600 JUTA, DAKWA GAGAL TANGANI LEBIH 50,000 KANDUNGAN MEMUDARATKAN DI YOUTUBE

MCMC SAMAN GOOGLE RM600 JUTA, DAKWA GAGAL TANGANI LEBIH 50,000 KANDUNGAN MEMUDARATKAN DI YOUTUBE

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan dua saman terhadap syarikat teknologi Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan memudaratkan di platform YouTube.

Menurut kenyataan MCMC, setiap saman menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.

Tuntutan itu bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja dalam menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan, selain memastikan Google bertanggungjawab terhadap dakwaan ketidakpatuhan berulang.

Saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan perjudian dalam talian, penipuan dan scam.

MCMC memaklumkan bahawa antara 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube. Daripada jumlah itu, 74,569 laporan atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.

Sebanyak 32,781 laporan menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh sehari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas. Selain itu, 35 laporan mengambil masa lebih 90 hari untuk mendapat maklum balas atau tindakan.

Saman kedua pula berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap penerbitan semula kandungan yang didakwa melanggar undang-undang oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, di YouTube.

MCMC turut memaklumkan bahawa kandungan berkenaan kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.

Dalam perkembangan sama, MCMC menegaskan semua penyedia platform media sosial perlu mematuhi kewajipan undang-undang serta syarat lesen masing-masing, termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Sumber : FMT
Foto : Utusan Melayu Plus

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *