KUALA LUMPUR – Kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi asas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang empat tahun menerajui negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tekad Anwar untuk melaksanakan pembaharuan serta membina masa depan Malaysia yang lebih baik kekal menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan.
Menurut Fahmi, perkara itu dapat dilihat menerusi perkongsian Perdana Menteri dalam program khas Dialog Negara: Di Sebalik Keputusan yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada malam 25 November.
Program tersebut menghimpunkan panelis daripada pelbagai segmen masyarakat untuk mengemukakan persoalan berkaitan dasar, pertimbangan dan keputusan kerajaan secara langsung kepada Perdana Menteri.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan kesihatan mental di sekolah serta cadangan penubuhan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Perbincangan turut menyentuh usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara mahasiswa, penempatan penjawat awam dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Fahmi menyifatkan perkongsian tersebut sebagai gambaran kerangka pemikiran seorang pemimpin yang berusaha mendepani cabaran negara dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai pertimbangan utama.









