JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor merampas sebuah bas ekspres selepas didapati mengutip tambang secara berasingan daripada penumpang, sekali gus melanggar syarat lesen pengendali.
Tindakan itu dilakukan menerusi operasi Pasukan Perisikan Operasi JPJ Johor di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Chagar, Johor Bahru, kira-kira jam 3 pagi.
Dalam operasi tersebut, pegawai JPJ menyamar sebagai penumpang bagi perjalanan dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ke Woodlands, Singapura untuk mengesan aktiviti kutipan tambang yang tidak dibenarkan.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, pemeriksaan mendapati bas berkenaan menggunakan sebuah kotak kutipan bagi mengumpul wang daripada penumpang.
Perbuatan itu dipercayai melanggar Seksyen 22(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Bas berkenaan kemudian disita mengikut Seksyen 80(1) akta sama sementara menunggu tindakan lanjut.
Jika disabitkan kesalahan, pengendali boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
JPJ turut mengingatkan pengusaha bas supaya hanya mengenakan tambang tambahan yang dibenarkan berdasarkan jadual tambang diluluskan dan syarat lesen. Penumpang juga perlu diberikan bukti pembayaran yang sah.
Penguatkuasaan di kawasan CIQ Bukit Chagar akan diteruskan bagi membendung kutipan tambang tidak sah dan pelanggaran peraturan pengangkutan awam.









