Puluhan Ribu Penyokong Gegar Dataran Merdeka, Tonton Final Piala Dunia 2026
KUALA LUMPUR – Dataran Merdeka bertukar menjadi lautan penyokong bola sepak apabila lebih 25,000 peminat membanjiri lokasi bersejarah itu bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang menemukan Argentina dan Sepanyol, awal pagi tadi.
Perlawanan kemuncak itu disiarkan menerusi skrin gergasi sempena program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sejak tengah malam lagi, orang ramai daripada pelbagai kaum, peringkat umur dan negara mula memenuhi Dataran Merdeka, meskipun sepak mula hanya berlangsung pada jam 3 pagi.
Suasana bertambah meriah apabila sorakan bergema sebaik wisel permulaan ditiup, dengan penyokong kedua-dua pasukan hadir mengenakan jersi Argentina dan Sepanyol.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang turut hadir mengenakan jersi Argentina meluangkan masa menyaksikan aksi final bersama ribuan peminat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan tayangan khas itu serta mengucapkan tahniah kepada RTM dan rakan strategik yang menyediakan siaran percuma sepanjang kejohanan berlangsung.
“Terima kasih kepada RTM, Telekom Malaysia, CelcomDigi, U Mobile dan semua rakan strategik yang menjayakan siaran percuma Piala Dunia 2026.
“Di Dataran Merdeka sahaja malam ini, lebih 25,000 orang hadir menyaksikan perlawanan. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat,” katanya.
Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus; Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail; dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, Ashwad berkata, beliau berbangga melihat rakyat daripada pelbagai latar belakang berhimpun dalam suasana harmoni bagi meraikan kemuncak kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
“Saya juga sempat bertemu beberapa pelancong dari Argentina yang meluahkan rasa gembira dengan sambutan luar biasa yang diberikan rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi penyokong Argentina, Faisal Kamaruzaman, 33, pengalaman menyaksikan perlawanan secara beramai-ramai di Dataran Merdeka memberikan suasana yang jauh berbeza berbanding menonton di rumah atau restoran.
“Biasanya saya menonton bersama rakan-rakan di rumah atau kedai makan, tetapi suasana di sini memang luar biasa. Aura penyokong ramai memberikan pengalaman yang lebih menyeronokkan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Syikin, 29, berkata tayangan skrin gergasi itu membuktikan bola sepak mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang dalam suasana yang selamat serta penuh semangat kesukanan.
Program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026 dianjurkan RTM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan Prihatin dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
