PETALING JAYA – Selepas 24 tahun dalam industri muzik, penyanyi Misha Omar terus membuktikan keupayaan vokalnya dan kematangan seni tanpa perlu meniru gaya penyanyi lain.
Misha, yang terkenal menerusi lagu-lagu malar segar, kini lebih selesa dengan identiti tersendiri yang dibentuk melalui pengalaman dan perjalanan panjang dalam dunia hiburan.
Perjalanan seninya turut dipengaruhi tokoh muzik seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan Datuk Syafinaz Selamat. Namun, pengalaman itu membantunya membina identiti tersendiri sebagai penghibur.
Menerusi persembahan Aku & Lelaki baru-baru ini, Misha mencabar dirinya dengan menyampaikan lagu popular penyanyi lelaki, antaranya Lelaki Ini, Keabadian Cinta, Bahagiamu Deritaku dan Teh Hijau.
Persembahan selama dua jam itu turut menampilkan medley lagu karya Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Konsep berkenaan memperlihatkan kecintaan Misha terhadap muzik serta keberaniannya meneroka dimensi baharu tanpa meninggalkan identiti vokalnya.
Selepas lebih dua dekad, Misha terus meraikan perjalanan seninya dengan cara tersendiri, berteraskan muzik, kejujuran dan hubungan erat bersama peminat.
Sumber: Astro AWANI








