KUALA LUMPUR – Filem KUDRAT 1968: High Council mencetuskan fenomena apabila mencatatkan jualan tempahan tiket awal sebanyak RM3 juta, meskipun tayangan rasminya di pawagam seluruh negara hanya bermula pada 29 Oktober ini.
Pencapaian itu dikongsikan menerusi hantaran Astro Shaw di Instagram pada Selasa, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan peminat yang mengikuti siri empat episod berkenaan.
Filem arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu bakal melengkapkan jalan cerita yang sebelum ini meninggalkan pelbagai persoalan mengenai nasib watak utama dan konflik yang berlaku di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT).
Antara pelakon yang membintangi filem tersebut ialah Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes dan Akmal Asyraf.
KUDRAT 1968: High Council merupakan prekuel kepada siri Projek: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024), yang membawa penonton menyelami permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.
Filem terbitan Astro Shaw itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 29 Oktober ini.
Sumber : Gempak









