ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan sebuah kenderaan persendirian yang menggunakan tulisan “Bomba” serta dilengkapi lampu amaran khas atau beacon light bukan kenderaan rasmi jabatan itu mahupun mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri berkenaan.
Pengesahan itu dibuat susulan penularan video di media sosial yang memaparkan kenderaan berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian di Sungai Petani.
Video berdurasi lima saat itu menunjukkan kenderaan berkenaan didakwa melanggar lampu isyarat sehingga hampir merempuh beberapa kenderaan lain.
Menurut JBPM Kedah, pihaknya memandang serius penyalahgunaan identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai serta menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan kebombaan.
Jabatan itu turut memaklumkan tindakan lanjut sedang diambil bagi memastikan perkara berkenaan ditangani sewajarnya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
JBPM Kedah turut menghargai keprihatinan orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung isu tersebut dan menegaskan bahawa kerjasama masyarakat penting bagi memastikan maklumat yang disebarkan tepat serta sahih.
Sumber : BERNAMA









