KOTA BHARU – Poster promosi konsert kumpulan Wali yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV pada 27 Januari 2027 tular di media sosial. Bagaimanapun, kerajaan Kelantan mengesahkan penganjur belum memperoleh kelulusan rasmi untuk mengadakan acara tersebut.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, semakan mendapati Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Perbendaharaan Negeri Kelantan belum menerima permohonan rasmi bagi penganjuran konsert berjudul Wali (Semalam di Kelantan) itu setakat 26 Oktober lalu.
Semakan dibuat selepas pihaknya menerima tangkap layar iklan penjualan tiket dalam talian melalui pautan ILASSOTICKET.COM.
Menurut Hilmi, pihak pengurusan Stadium Sultan Muhammad IV mengesahkan terdapat tempahan penggunaan stadium oleh sebuah syarikat pada tarikh berkenaan. Namun, tempahan lokasi tidak bermaksud konsert dan penjualan tiket telah mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri.
Beliau turut mengingatkan penganjur supaya mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025, yang melarang pengiklanan program hiburan atau penjualan tiket sebelum lesen diluluskan.
Di bawah Seksyen 20, pelanggaran berkaitan pengiklanan program hiburan sebelum kelulusan boleh membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, Seksyen 21 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan berkaitan tiket tanpa kebenaran mengikut peruntukan ditetapkan.
Kerajaan negeri menasihatkan semua penganjur supaya mengemukakan permohonan mengikut prosedur dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Sumber/ Foto : Sinar Harian









