KUALA LUMPUR – Klasifikasi umur bagi filem kategori 18 bukan bermaksud kandungannya boleh ditayangkan tanpa sebarang batasan, sebaliknya filem berkenaan masih tertakluk pada garis panduan penapisan yang berkuat kuasa.
Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan bahawa Lembaga Penapis Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus menilai kandungan filem berdasarkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.
Menurut kementerian itu, pendekatan membenarkan filem kategori 18 ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu merupakan perubahan kaedah kawalan daripada pemotongan babak kepada klasifikasi mengikut kesesuaian umur penonton, bukannya pelonggaran kawalan kandungan.
Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) 2024 memperincikan kategori klasifikasi mengikut kesesuaian umur bagi membantu penonton dewasa membuat pilihan serta melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka.
Kementerian turut menegaskan bahawa kandungan yang melanggar garis panduan, termasuk yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat, tetap tertakluk pada tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan LPF akan terus bekerjasama dengan pemain industri untuk meneliti sistem klasifikasi filem dari semasa ke semasa supaya kekal relevan dengan perkembangan industri dan landskap kandungan semasa.
Sumber : BERNAMA









