KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan usaha mendapatkan semula aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diteruskan melalui saluran undang-undang, tanpa terjejas secara automatik oleh perkembangan berkaitan hukuman jenayah atau pengampunan seseorang individu.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), prosiding sivil untuk mendapatkan semula dana yang diseleweng mempunyai asas perundangan dan proses pembuktian yang berbeza daripada prosiding jenayah. Oleh itu, sebarang keputusan berkaitan hukuman atau pengampunan tidak dengan sendirinya menamatkan tuntutan sivil berkenaan.
MOF menjelaskan bahawa hak kerajaan dan 1MDB untuk meneruskan tuntutan perlu dinilai berdasarkan asas tuntutan, bukti serta perintah mahkamah yang berkaitan. Tindakan pelucuthakan aset pula tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat yang berkenaan.
Setakat ini, kerajaan telah mendapatkan semula aset bernilai RM31.3 bilion berkaitan 1MDB. Namun, jumlah keseluruhan obligasi kewangan berkaitan 1MDB dianggarkan RM51.4 bilion, manakala baki beban kewangan bersih kerajaan dianggarkan RM20.1 bilion sekiranya tiada lagi dana atau aset berjaya dipulihkan.
Kerajaan turut menegaskan bahawa usaha pemulihan aset akan diteruskan melalui kerjasama antarabangsa dan tindakan perundangan bagi mengurangkan beban kewangan negara serta melindungi kepentingan rakyat.
Sumber : Harian Metro
Foto : MalaysiaKini









