Temenggor, Gerik Dilanda Gempa Bumi 3.4 Magnitud
KUALA LUMPUR – Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dilaporkan berlaku di kawasan Temenggor, Gerik, Perak pada 12.06 tengah malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dengan koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur.
Menurut MetMalaysia, pusat gempa bumi berkenaan terletak kira-kira sembilan kilometer di timur laut Hulu Perak.
Gegaran akibat kejadian itu turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan sekitar Gerik.
Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai sebarang kerosakan atau kecederaan akibat kejadian berkenaan.
MetMalaysia berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat perkembangan lanjut.
