Home / Malaysia / NILAI RAMPASAN AKPS LONJAK EMPAT KALI GANDA, 19 PEGAWAI DIBUANG KERJA

NILAI RAMPASAN AKPS LONJAK EMPAT KALI GANDA, 19 PEGAWAI DIBUANG KERJA

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan nilai rampasan sebanyak RM322.74 juta setakat 31 Oktober 2026, meningkat lebih empat kali ganda berbanding RM82.10 juta pada tahun pertama operasinya pada 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian itu melibatkan 16,357 kes penguatkuasaan dan mencerminkan peningkatan keupayaan agensi berkenaan dalam membanteras penyeludupan serta melindungi hasil negara.

Daripada jumlah rampasan tersebut, sektor biosekuriti menyumbang sebanyak RM72.05 juta, manakala sektor kastam dan percukaian merekodkan RM50.84 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, aspek integriti turut menjadi perhatian apabila seramai 27 pegawai AKPS dikenakan tindakan sehingga November 2026 berhubung pelanggaran integriti, termasuk kes berkaitan sindiket counter setting dan flying passport.

Daripada jumlah itu, seramai 19 pegawai telah dibuang kerja, manakala lapan lagi dikenakan tindakan tahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah.

Selain itu, operasi Task Force Saringan 100 Peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Ogos hingga 13 November 2026 berjaya membongkar 16 kes penyeludupan dadah bernilai RM34.89 juta dengan berat keseluruhan 436.66 kilogram.

Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan ribuan penerbangan, kru, penumpang dan bagasi bagi memperketat kawalan keselamatan pintu masuk negara.

Kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh keupayaan sumber manusia, teknologi serta tadbir urus AKPS bagi memastikan keselamatan sempadan dan integriti penguatkuasaan terus terpelihara.

Sumber : Berita Harian
Foto : BERNAMA

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *