ALOR SETAR – Seorang wanita dari Yan, Kedah merayu bantuan orang ramai untuk mengesan adik lelakinya, Muhammad Shafik Hidayat, 22, yang juga penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas dipercayai hilang sejak kira-kira lima minggu lalu.
Kakaknya, Nur Fatihah Mat Daud, 33, berkata kali terakhir dia berhubung dengan adiknya adalah pada 3 Oktober lalu ketika menghantarnya menaiki bas untuk ke Kajang. Ketika itu, Muhammad Shafik masih membalas mesej seperti biasa sebelum gagal dihubungi selepas itu.
Nur Fatihah hanya mengetahui mengenai kehilangan adiknya kira-kira tiga hari lalu menerusi mesej yang tular di WhatsApp. Dia turut dimaklumkan pihak universiti bahawa adiknya sudah lama tidak menghadiri kelas.
Menurutnya, Muhammad Shafik tidak pernah berkongsi sebarang masalah dengannya. Malah, dia menyangka adiknya masih menjalani pengajian seperti biasa.
Lebih menyentuh perasaan, Nur Fatihah berkata mereka hanya berdua selepas kedua-dua ibu bapa meninggal dunia kira-kira empat hingga lima tahun lalu.
Dia telah membuat laporan polis, manakala pihak universiti turut memaklumkan bahawa laporan polis sudah dibuat berhubung kehilangan pelajar Tahun Tiga, Fakulti Sains Citra itu.
Sehingga kini, keberadaan Muhammad Shafik masih belum diketahui. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah melihatnya diminta tampil membantu dengan menghubungi balai polis berhampiran.









