Remaja 17 Tahun Ditemukan Dalam Beg Pakaian Di Pattaya, Warga Australia Didakwa Membunuh
BANGKOK: Keluarga seorang remaja perempuan Thailand berusia 17 tahun yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg pakaian di Pattaya, masih bergelut menerima tragedi yang menimpa mangsa.
Kes itu mendapat perhatian selepas seorang lelaki warga Australia, Simon Peter Carman, ditahan pihak berkuasa Thailand di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, pada awal pagi 27 Jun lalu.
Menurut polis Thailand, suspek ditahan ketika dipercayai bersedia untuk menaiki penerbangan pulang ke Australia, selepas waran tangkap dikeluarkan berhubung kes pembunuhan di Pattaya, kira-kira 150 kilometer dari Bangkok.
Suspek kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk membunuh, menyembunyikan mayat, memindahkan atau memusnahkan mayat serta membawa individu bawah umur bagi tujuan seksual.
Polis memaklumkan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek memasuki sebuah kondominium bersama mangsa sebelum keluar bersendirian beberapa jam kemudian sambil membawa sebuah beg pakaian.
Ketika berada di bilik siasatan, suspek dilaporkan menyampaikan mesej kepada keluarga mangsa dengan menyatakan rasa bersalah atas apa yang berlaku.
Bapa mangsa, Thongchai Donhomla, 46, berkata beliau amat sedih dengan kehilangan anaknya yang disifatkan sebagai seorang yang berdikari dan sering membantu keluarga.
“Saya amat sedih. Anak perempuan saya tidak mempunyai ibu, jadi setiap kali dia mahukan sesuatu, dia akan mencari jalan sendiri dan dia juga sentiasa membantu saya,” katanya.
Ibu tiri mangsa, Oradee Bussarakum pula mahu suspek dikenakan hukuman paling berat atas kejadian tersebut.
Setakat ini, pihak polis belum memaklumkan tarikh suspek akan pertama kali dihadapkan ke mahkamah.
Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa Thailand.
