25,000 Individu Bakal Terima Manfaat Bakat MADANI – PM
SEREMBAN – Inisiatif Bakat MADANI yang diperkenalkan kerajaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 25,000 individu dalam tempoh setahun bermula pertengahan 2026, sekali gus memperkukuh pembangunan bakat negara bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan pelaksanaan inisiatif itu bergantung kepada kestabilan politik, perpaduan rakyat serta sistem pentadbiran yang teratur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Pertama sekali, anak-anak dikasihi sekalian. Tidak banyak negara yang dapat memberikan ruang. Jadi hadam betul-betul program ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bakat MADANI di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, Bakat MADANI bukan sekadar menyediakan peluang kepada golongan muda, malah turut memberi “peluang kedua” kepada kumpulan sasar seperti isi rumah B40, asnaf, golongan rentan serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya.
Katanya, program itu memberi penekanan kepada pembangunan bakat dalam sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju menerusi kerjasama strategik antara industri dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.
Anwar berkata, kerajaan turut meneliti pemberian insentif cukai kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah Bakat MADANI bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas sektor industri.
“Apabila kita melabur dalam pembangunan rakyat, kita turut memperkukuh asas ekonomi negara,” katanya.
Program Bakat MADANI menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Petronas dalam usaha memperkasa pembangunan bakat negara melalui penyediaan laluan latihan, peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik.
Majlis pelancaran itu dihadiri lebih 700 peserta, termasuk barisan menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan Petronas, selain penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.
Bakat MADANI diwujudkan sebagai platform yang menghubungkan bakat tempatan dengan peluang ekonomi masa depan, sekali gus memastikan graduan, belia TVET dan golongan rentan mendapat akses kepada latihan, pensijilan serta peluang pekerjaan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi.
