Home / Politik / PKR SAH TIDAK BERTANDING PRN SARAWAK, HORMATI MUAFAKAT DENGAN GPS

PKR SAH TIDAK BERTANDING PRN SARAWAK, HORMATI MUAFAKAT DENGAN GPS

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati kerjasama politik dan persefahaman bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR, Roland Engan; dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Mahmud Epah pada 24 November.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan berkenaan dibuat bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, selain memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

PKR Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda reformasi, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat meskipun tidak menyertai pilihan raya negeri kali ini.

Seluruh jentera dan pimpinan parti di Sarawak juga diarahkan supaya mematuhi keputusan tersebut serta mengekalkan hubungan baik dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.

Keputusan itu turut mencatat sejarah apabila menjadi kali pertama PKR tidak bertanding dalam PRN Sarawak sejak parti itu mula menyertai pilihan raya negeri berkenaan pada 2001.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon berlangsung pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *