Home / Malaysia / SCAM GUNA AI, DEEPFAKE DAN SUARA PALSU JADI TUMPUAN NEXSEC2026

SCAM GUNA AI, DEEPFAKE DAN SUARA PALSU JADI TUMPUAN NEXSEC2026

KUALA LUMPUR – Ancaman penipuan digital yang menggunakan kecerdasan buatan (AI), teknologi deepfake dan penyamaran suara semakin membimbangkan apabila penjenayah siber menggunakan teknologi tersebut untuk memperdaya mangsa.

Perkembangan itu menjadi antara fokus utama NEXSEC2026, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 November 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Program tersebut menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin industri, pakar keselamatan siber dan ahli akademik bagi membincangkan ancaman siber baharu serta kesiapsiagaan Malaysia dalam memperkukuh pertahanan digital negara.

Antara topik yang diketengahkan termasuk penggunaan AI dalam keselamatan siber, teknologi kuantum dan perlindungan data, penipuan digital serta pembangunan bakat keselamatan siber.

Satu sesi khas bertajuk The State of Scams 2026: Trends, Impact and Lessons for Malaysia turut dijadualkan pada 26 November, dari jam 10.30 hingga 11 pagi. Sesi itu menampilkan Rajeshpal Singh Sandhu, Penasihat Asia Tenggara bagi Global Anti-Scam Alliance (GASA), untuk membincangkan trend penipuan terkini dan kesannya terhadap masyarakat.

Selain ancaman semasa, NEXSEC2026 turut memberi perhatian kepada persediaan Malaysia menghadapi cabaran keselamatan data pada era teknologi kuantum serta kepentingan membina kepercayaan masyarakat terhadap teknologi baharu.

Program ini terbuka kepada orang ramai dan turut menyediakan perbincangan panel, perkongsian teknologi, pameran, pertandingan keselamatan siber serta pameran bakat.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *