ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Malaysia Berpotensi Muncul Sebagai ‘Juara’ AI, Telekomunikasi ASEAN

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju dalam bidang kecerdasan buatan (AI), telekomunikasi dan kesalinghubungan digital di ASEAN menerusi penganjuran M360 ASEAN yang julung kali diadakan di rantau ini, bulan depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah mencerminkan keyakinan industri global terhadap kedudukan serta pencapaian Malaysia dalam sektor digital.

Beliau berkata M360 ASEAN yang berlangsung pada 9 dan 10 September ini akan menghimpunkan pemain industri, vendor teknologi, pakar, pelabur, ahli akademik serta wakil kerajaan dari seluruh rantau ASEAN.

Katanya, penganjuran edisi pertama M360 ASEAN itu dijangka memperkukuh lagi kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi digital serantau, selain membuka ruang membincangkan hala tuju ASEAN dalam AI dan kesalinghubungan.

“Ini satu penghormatan kepada Malaysia sebagai tuan rumah kepada satu acara yang dalam dunia telekomunikasi, memang program M360 ini sering menjadi penanda aras untuk mana-mana negara dan juga sektor.

“Dengan mengumpulkan pemain industri, vendor, pakar termasuk daripada kalangan ahli akademik, menteri dan wakil kerajaan ASEAN, kita mempunyai peluang untuk melihat hala tuju ASEAN bukan hanya dalam sektor AI, tetapi juga dari segi kesalinghubungan,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kerjasama Rakan Strategik M360 ASEAN di sini, hari ini.

Fahmi berkata penganjuran itu turut menyediakan platform kepada negara anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran kesalinghubungan digital, termasuk mengambil kira keperluan negara anggota baharu, Timor-Leste.

Beliau berkata perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha mengimbangi manfaat AI dengan keperluan menangani risiko serta cabaran yang timbul daripada penggunaan teknologi berkenaan.

“Kita percaya dengan adanya M360, fokus kepada kesalinghubungan merentas ASEAN dapat diketengahkan, termasuk persoalan bagaimana kita perlu mengimbangi, memanfaatkan AI dan pada masa sama berwaspada terhadap bahaya AI,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata GSMA turut mengumumkan laporan mengenai kesan ekonomi digital di rantau Asia Pasifik yang menyebut Malaysia sebanyak 14 kali.

Menurutnya, laporan itu memberikan gambaran positif terhadap kedudukan Malaysia serta pencapaian negara dalam sektor ekonomi digital sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan laporan Mobile Economy Asia Pacific 2026 oleh GSMA, teknologi dan perkhidmatan mudah alih dijangka menyumbang AS$1.4 trilion (RM5.9 trilion) kepada ekonomi Asia Pasifik menjelang 2030, meningkat 40 peratus berbanding AS$1 trilion (RM4.2 trilion) ketika ini.

Laporan itu turut menyatakan fasa pertumbuhan digital rantau berkenaan bukan lagi hanya bergantung kepada kesalinghubungan, sebaliknya semakin dipengaruhi empat keutamaan yang saling berkait, iaitu perkembangan pesat AI, keperluan terhadap infrastruktur digital yang lebih berdaya tahan serta peningkatan kepentingan kedaulatan digital.

Ketua Asia Pasifik GSMA Julian Gorman berkata perkembangan itu berlaku ketika kerajaan di seluruh rantau berdepan cabaran peningkatan penipuan dalam talian, permintaan terhadap infrastruktur AI yang semakin tinggi, ketidaktentuan geopolitik serta tuntutan terhadap kedaulatan digital.

Beliau berkata cabaran berkenaan pada masa sama mewujudkan peluang baharu yang akan menjadi antara agenda utama perbincangan pada M360 ASEAN di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *