Nurul Izzah Mohon Lepas Jawatan Timbalan Presiden, MPP PKR Beri Cuti Sementara
KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar berkata keputusannya melepaskan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat selepas pertimbangan yang mendalam bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pengajian lanjutan serta meneruskan khidmat kepada masyarakat di luar kerangka politik.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun berkata keputusan tersebut tidak mengubah komitmennya untuk terus kekal sebagai anggota PKR dan menyokong perjuangan parti di bawah kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota PKR, pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan semua yang telah bersama saya sepanjang perjuangan ini.
“Terima kasih atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus.
“Insya-Allah kita bertemu pada Kongres Nasional PKR pada 14 dan 15 Ogos ini,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Nurul Izzah turut merakamkan penghargaan kepada Anwar serta barisan kepimpinan parti yang mengambil maklum keputusan beliau untuk melepaskan jawatan berkenaan.
Beliau berkata yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang akan menjalankan tugas Timbalan Presiden secara sementara, bersama Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Seri Amirudin Shari, mampu memikul amanah yang diberikan dengan penuh kebijaksanaan dan komitmen.
“Saya mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dalam menggalas tanggungjawab ini,” katanya.
Terdahulu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026, selain melantik Saifuddin Nasution bagi menjalankan tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas MPP meneliti permohonan Nurul Izzah untuk melepaskan jawatan berkenaan serta mendengar pandangan beliau dan barisan kepimpinan parti.
Beliau berkata cuti sementara itu akan berkuat kuasa selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
