3 Pemimpin Kanan Bersatu Terengganu Umum Peletakan Jawatan
MARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu berdepan perubahan dalam kepimpinan apabila tiga pemimpin utamanya mengumumkan peletakan jawatan daripada jawatan parti masing-masing.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mengesahkan beliau telah melepaskan jawatan yang disandang sejak 10 tahun lalu dan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lepas.
Razali, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, berkata peletakan jawatan itu belum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
“Saya sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu kepada Muhyiddin pada pertengahan bulan lalu.
“Setakat ini, pihak ibu pejabat parti termasuk Muhyiddin belum mengesahkan atau membuat keputusan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program makan durian bersama Kelab Media Perdana Terengganu (METRA) dan Exco Pelancongan di Kampung Lubuk Batu, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Badrolhisham Mohamed @ Shafie dan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Terengganu Lim Chew Sieng.
Razali, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata beliau turut akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Marang berkuat kuasa 15 Sept ini bagi membolehkan urusan pentadbiran parti di peringkat bahagian diselesaikan terlebih dahulu.
“Saya hanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan dan Ketua Bahagian, tetapi masih kekal sebagai ahli parti,” katanya.
Sementara itu, ADUN Telemong Mohd Zawawi Ismail turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, manakala ADUN Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin melepaskan jawatan sebagai Bendahari Bersatu Terengganu.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Khazan Che Mat, memberi bayangan beliau juga berkemungkinan mengambil tindakan serupa.
Khazan, yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Nerus merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, berkata beliau menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Razali.
“Saya menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Razali. Jika dia letak jawatan, buat apa saya hendak terus memegang jawatan. Jika kepala tiada, ekor akan mengikuti,” katanya.
