ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Wan Suraya Ketua Audit Negara Pertama Di Dunia Terima Anugerah Donald R. Cressey

PUTRAJAYA – Malaysia mencatat satu lagi pencapaian di peringkat antarabangsa apabila Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dianugerahkan Anugerah Donald R. Cressey 2026, pengiktirafan tertinggi daripada Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (Association of Certified Fraud Examiners – ACFE).

Jabatan Audit Negara (JAN) dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah yang diperkenalkan sejak 1989 itu merupakan pengiktirafan antarabangsa tertinggi dalam bidang antipenipuan dan tadbir urus, sekali gus menjadi pencapaian pertama Malaysia menerima penghormatan berkenaan.

Menurut JAN, Wan Suraya merupakan penerima pertama dari rantau ASEAN dan individu kedua dari Asia yang menerima anugerah tersebut, yang disampaikan pada Persidangan Tahunan Global Fraud ACFE Ke-37 di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

“Beliau juga merupakan Ketua Audit Negara pertama di dunia yang menerima anugerah ini sejak ia diperkenalkan 37 tahun lalu.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, malah mencerminkan keyakinan komuniti global terhadap komitmen negara dalam memperkukuh tadbir urus, integriti, ketelusan dan akauntabiliti sektor awam melalui fungsi audit yang bebas, berwibawa dan berimpak,” menurut kenyataan itu.

JAN memaklumkan pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pindaan Akta Audit 1957 pada 2024, pengukuhan pendekatan audit berasaskan data menerusi Pendigitalan Perkhidmatan JAN (PPJ), penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta analitik data raya.

Selain itu, Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) turut diperkasakan sebagai platform pemantauan susulan audit secara masa nyata.

Menurut JAN, pembaharuan tersebut telah mentransformasikan fungsi audit daripada sekadar mengenal pasti kelemahan kepada memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan secara berkesan, sekali gus memperkukuh tadbir urus, melindungi wang awam dan meningkatkan tahap akauntabiliti.

“Pengiktirafan melalui Anugerah Donald R. Cressey 2026 membuktikan reformasi yang diterajui Malaysia kini menjadi rujukan serta mendapat pengiktirafan daripada komuniti antipenipuan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden ACFE, John Gill berkata Wan Suraya melambangkan standard kecemerlangan dan integriti yang menjadi asas kepada Anugerah Donald R. Cressey.

“Beliau merupakan peneraju inovasi dan integriti di rantau Asia Pasifik serta di peringkat global.

“ACFE berbesar hati mengiktiraf impak serta pendekatan inovatif yang diperkenalkan beliau dalam bidang audit dan pengurusan risiko penipuan, yang telah meningkatkan ketelusan serta kepercayaan terhadap sektor awam di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Wan Suraya, yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada 13 Jun 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *