ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Pelajar Bawa Bom Buatan Sendiri Ke Sekolah Tertekan Akibat Buli

JAKARTA – Polis Indonesia mendedahkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang membawa bom buatan sendiri ke sebuah sekolah menengah di Padang, Sumatera Barat, dipercayai bertindak akibat tekanan emosi selepas didakwa menjadi mangsa buli berterusan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Sumatera Barat, Komisaris Besar Polis Susmelawati Rosya berkata, siasatan awal mendapati remaja itu mengalami tekanan psikologi kerana sering diejek dan dibuli oleh rakan-rakan di sekolah.

“Suspek mengaku kerap menjadi sasaran buli sehingga memberi kesan yang mendalam terhadap keadaan emosinya,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, pihak polis kini memberi tumpuan kepada aspek pemulihan remaja berkenaan kerana siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang bukti yang mengaitkannya dengan rangkaian pengganas.

Remaja terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Padang bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Detasemen Khas (Densus) 88 Antipengganas, Mayndra Eka berkata, suspek mengaku mempelajari cara menghasilkan bahan letupan menerusi internet.

Menurutnya, suspek turut mendakwa mendapat inspirasi daripada satu insiden letupan bom di sebuah sekolah menengah di Jakarta pada tahun 2025.

Siasatan awal mendapati bom buatan sendiri itu dipasang menggunakan bahan yang dibeli secara dalam talian dan disiapkan di rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Suspek juga mengaku menyertai beberapa kumpulan dalam talian yang membincangkan kaedah menghasilkan bahan letupan.

Bagaimanapun, semua pengakuan tersebut masih dalam proses pengesahan dan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Insiden itu berlaku pada Selasa di Madrasah Aliyah Negeri (MAN) 3 Padang, Balai Gadang, Koto Tengah.

Menurut polis, hanya satu letupan kecil berlaku berhampiran sebuah bilik darjah dan kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kematian atau kecederaan.

Siasatan awal mendapati alat yang disyaki bom buatan sendiri itu terlebih dahulu ditemukan oleh pengawal keselamatan sekolah sebelum pihak pengurusan memaklumkan kejadian kepada polis.

Pemeriksaan di lokasi turut menemukan beberapa barangan termasuk sebuah kotak hitam, beg, telefon bimbit, mercun, pisau, anak panah, guli, pengikat logam serta beberapa bahan lain yang dipercayai berkaitan dengan kes.

Polis memaklumkan identiti individu yang didakwa menjadi sasaran suspek masih berdasarkan keterangannya dan belum dapat disahkan sepenuhnya.

Kes kini disiasat oleh Polis Sumatera Barat dengan kerjasama Densus 88 bagi mengenal pasti motif sebenar serta semua aspek berkaitan kejadian tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *